Sunday, September 11, 2011

KEMALANGAN DI CHUPING, PERLIS




Kematian adalah suatu kepastian bagi setiap yang bernyawa.

Bagi yang masih hidup, pengakhiran seorang insan hanya terbahagi kepada dua, iaitu husnul khatimah ataupun su'ul khatimah. Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 9 pagi tadi, MATRI telah kehilangan tiga butir permata yang amat berharga didalam perjalanan hidup mereka demi memartabatkan ilmu ke tahap yang Allah kehendaki. Kejadian yang berlaku pada pagi ini melibatkan lapan orang pelajar MATRI dan seorang bapa angkat pelajar semestinya termasuk dalam ilmu dan hikmah Allah Taala.

Kumpulan pelajar yang mengikuti program Bapa Angkat yang dianjurkan oleh pihak MATRI sedang dalam perjalanan pulang dari melawat Ladang Tebu dan Kilang Gula di Chuping, Perlis untuk kajian tugasan tempatan. Bapa Angkat tersebut iaitu Allahyarham Hj Shahidan bin Ali yang juga merupakan suami kepada guru MATRI, Cikgu Nor Asmah binti Omar, merupakan salah seorang bekas kakitangan Kilang Gula. Hujan lebat yang berterusan semenjak semalam telah melembutkan tanah, menyebabkan sebatang pohon besar yang rendang ditepi jalan telah terbalik dan menghempap kenderaan mereka yang sedang bergerak perlahan disebabkan hujan lebat. Allahyarham Ahmad Izzat bin Ismail dan Allahyarham Hj Shahidan bin Ali yang berada di bahagian hadapan bersama dengan Allahyarham Hazman Bakhtiar bin Sharizan yang duduk dibelakang pemandu telah dihimpit teruk oleh bumbung kenderaan tersebut dan meninggal ditempat kejadian.

Muhamad Ahnaf bin Anissofian yang cedera telah dimasukkan ke Unit Kecemasan manakala 5 pelajar lain yang cedera ringan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar. Menjelang petang tadi, kesemua 6 pelajar tersebut telah dibenarkan pulang. Kesemua jenazah akan disolatkan di Dewan Musolla MATRI selepas Maghrib atau Isya', bergantung kepada perlepasan oleh pihak hospital. Jenazah Allahyarham Hj Shahidan bin Ali akan disemadikan di Beseri, Perlis, manakala Allahyarham Ahmad Izzat b Ismail dan Allahyarham Hazman Bakhtiar bin Sharizan akan disemadikan di Pulau Pinang dan Kulim.

Senarai yang terlibat kemalangan:
1. Shahidan Bin Ali - Meninggal,
2. Muhd Izzat Bin Ismail -Tingkatan 5 - Meninggal,
3. Hazman Bakhtiar Bin Shahrizan - Tingkatan 2 - Meninggal,
4. Muhd Ahnaf Bin Anisoffian - Tingkatan 2, Cedera Parah.
5. Muhd Shauqi Bin Salahuddin - Tingkatan 2 - Cedera Ringan,
6. Muhd Iqbal Bin Aminuddin - Tingkatan 2 - Cedera Ringan,
7. Muhd Faris Mustaqim Bin Nazri - Tingkatan 2 - Cedera Ringan,
8. Muhd Zalfadhli Bin Rodi - Tingkatan 2 - Cedera Ringan,
9. Omar Mokhtar Bon Shirin - Tingkatan 2 - Cedera Ringan,


Takziah diucapkan kepada keluarga mereka yang Allah swt telah jemput pulang menghadapNya yang mereka rindui.Semoga Allah swt menguniakan pahala syahid atas pemergian mereka.

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan. (QS. 21:35)

Kepada keluarga Allahyarham, sama-sama kita ucapkan :

" Sesungguhnya kepunyaan Allah apa yang Dia ambil dan kepunyaanNya apa yang Dia berikan dan segala sesuatu pada sisiNya sampai waktu yang ditentukan. Hendaklah kamu bersabar dan mengharapkan ganjaran" (Hadis Riwayat Bukhari dari hadith Usamah)

Kepada mereka yang masih menerima rawatan kecemasan, sama-sama kita SOLAT HAJAT & BERDOA semoga Allah swt menyelamatkan mereka, menyembuhkan mereka, Sesungguhnya Allah swt Rabb Yang Maha Menyembuhkan Lagi Maha Mengasihani.

Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham.

No comments:

Post a Comment